Tuesday, July 18, 2017

Jana Pendapatan Dengan Menjadi Penulis



    • Ramai orang berhasrat untuk menulis buku dan menghasilkan hasil penulisan sendiri samada ia penulisan berbentuk novel, jurnal, artikel dan sebagainya. Walaubagaimana pun ramai yang tidak dapat meneruskan hasrat mereka untuk menghasilkan buku kerana kekangan seperti tidak mempunyai bakat menulis, kekurangan masa, masalah penggunaan tatabahasa, kekurangan idea penulisan, kekurangan kesabaran  dan ketiadaan inspirasi untuk meneruskan penulisan. Jangan berputus asa. Tidak ada istilah terlalu lambat untuk anda memulakan sesuatu tidak kiralah apa bidang itu, samada bidang penulisan, jahitan dan sebagainya. 
    • Jika anda mempunyai sijil, diploma atau ijazah di dalam bidang penulisan sudah pastilah ia akan memberi lebih manfaat kepada anda, memandangkan anda sudah mempunyai cukup pendedahan terhadap bidang penulisan. Tapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak pernah mendapat bimbingan dan pendidikan formal dalam bidang penulisan?  Penulis kongsikan beberapa tips untuk memulakan kerjaya sebagai penulis seperti di bawah :
  1. 1. Rajin membaca. Jadikan diri anda seorang yang berpengetahuan luas dengan banyak membaca. Pengetahuan luas anda dalam pelbagai bidang dan aspek adalah modal anda menjadi penulis di masa depan.

  2. 2. Mempersiapkan diri anda untuk proses pemasaran diri anda sebagai penulis. Jika anda memutuskan untuk menjadi penulis bebas, anda harus mempersiapkan diri anda untuk proses pemasaran diri anda sebagai penulis. Anda perlu mencari matlumat tentang bagaimana memasarkan dan menjual hasil penulisan anda. Jika anda telah berjaya menyiapkan sebuah draf cerpen atau novel, anda bolehlah mencari beberapa orang yang anda rasa sesuai untuk membaca draf tersebut, sebagai suatu langkah untuk melihat sejauh mana menariknya karya anda. Terima kritikan dan cadangan untuk memperbaiki hasil penulisan anda. Seterusnya anda perlu keluar mencari peluang untuk menerbitkan buku anda. Anda perlu mencari syarikat yang sudi menerbitkan buku anda. Anda mempunyai draf yang menarik? Layarilah :
  3. Ghostwriter

  4. 3. Menerima kenyataan dan realiti bahawa usaha mengubah suatu minat dan hobi menjadi sumber rezeki itu adalah sukar dan memerlukan kerja keras. Anda pasti kenal pada J.K. Rowling, penulis Harry Potter yang terkenal di seluruh dunia. Sebelum buku pertama beliau berjaya diterbitkan, beliau telah menghantar draf tulisan beliau kepada begitu banyak editor yang telah menolak permohonan beliau untuk menerbitkan buku. Walaubagaimana pun, beliau tidak berputus asa dan terus mencuba  mencari editor yang benar-benar menyukai hasil karya beliau sehinggalah buku pertama beliau Harry Potter and the Philosopher’s Stone berjaya diterbitkan. Pengerusi Bloomsbury, sebuah syarikat penerbitan British telah memberikan Bahagian Pertama draf buku kanak-kanak itu kepada anaknya yang berusia 8 tahun untuk dibaca. Kesudahannya, Alice menghendaki keseluruhan draf buku tersebut. Dari situ bermulalah kerjaya J.K Rowling sebagai penulis buku kanak-kanak.

  5.  4Cari lokasi sesuai untuk menulis. Menjadi seorang penulis bukan bermaksud anda harus duduk di dalam bilik atau di rumah anda sahaja sepanjang masa untuk menulis. Walaubagaimana pun anda meminati bidang penulisan, pasti ada masanya anda merasa kesepian kerana sentiasa berada di lokasi yang sama untuk menulis. Tambahkan kecerian di dalam kehidupan penulisan anda. Anda boleh membawa laptop anda ke perpustakaan, kafe atau taman untuk menulis. Mungkin sahaja dengan suasana berbeza, idea dan ilham anda akan keluar mencurah-curah dan membolehkan anda menghasilkan karya penulisan yang menarik, berkualiti dan bermanfaat untuk masyarakat.

  6. 5. Berdisiplin di dalam pengurusan kerjaya penulisan anda. Jika anda hendak menjadi seorang penulis bebas, anda mesti mempunyai disiplin dan satu sistem pengurusan yang teratur untuk memastikan kerja-kerja anda berjalan dengan lancar.
    • Anda boleh menyediakan sebuah ruang khas sebagai tempat anda menulis. Meja dan kerusi yang sesuai diperlukan jika anda akan duduk pada waktu yang lama untuk menulis. Duduk terlalu lama di kerusi yang tidak sesuai akan membahayakan 'posture' anda. Peralatan menulis dan buku-buku rujukan anda jika disusun dengan baik dan sedap mata memandang akan membuat anda merasa lebih selesa untuk menulis.
    • Samada anda menggunakan diari, papan tulis, nota peringatan dalam telefon pintar dan sebagainya, anda perlu mempunyai satu sistem yang membolehkan anda melihat mana-mana tugasan penulisan yang harus anda siapkan. Ia merupakan satu sistem seperti jadual waktu di mana terdapat senarai tugasan yang perlu disiapkan, nama client atau pelanggan anda, senarai e-mail dan nombor untuk dihubungi dan sebgainya.
    • Anda perlu berkomunikasi dengan lebih kerap dengan pelanggan anda. Contohnya jika anda menjadi seorang ghost writer, pelanggan anda akan memberi anda satu tajuk untuk disiapkan dalam tempoh tertentu. Jadi anda harus rajin bertanya soalan tentang apa isi kandungan artikel yang dikehendaki oleh pelanggan anda itu. Anda harus meyakinkan pelanggan anda bahawa anda mampu menghasilkan satu hasil penulisan yang baik, bersesuaian dan tepat pada masa yang telah ditetapkan oleh  pelanggan anda. Anda juga perlu kerap berhubung dengan pelanggan anda untuk memberi tahu tentang status kerja penulisan anda. Kebiasaanya pelanggan memerlukan seorang ghostwriter untuk melaporkan berapa peratus kerja-kerja penulisan yang telah disiapkan pada satu satu masa.
    • Jangan terlalu memaksa diri anda untuk menulis berjam-jam lamanya pada satu satu masa. Jika tiada ilham atau pun idea timbul di minda anda ketika anda sedang duduk cuba untuk menyiapkan karya anda, anda mungkin patut berehat dan melakukan perkara lain pula. Bawalah buku nota kecil dan pen kemana sahaja anda pergi, mungkin sahaja anda akan mendapat ilham dan idea dengan tiba-tiba. Jadi anda boleh terus menulis idea baru anda di buku nota kecil anda untuk kegunaan anda nanti.

  7. 6. Tetapkan matlamat anda sebagai penulis dan teruskan pekerjaan tetap anda jika anda mempunyai pekerjaan tetap. Jika anda sudah mempunyai pekerjaan tetap di jabatan kerajaan atau swasta, anda masih boleh menjadi penulis bebas dengan menulis artikel untuk majalah atau suratkhabar. Pastinya masa anda untuk menulis adalah terhad kerana anda hanya boleh menulis mungkin pada waktu malam, awal pagi dan pada hujung minggu sahaja. Jika anda memang sukakan dunia penulisan, semua itu pasti tidak menjadi halangan bagi anda.
    • Ada pelbagai cara yang anda boleh lakukan untuk menambahkan keupayaan anda sebagai penulis. Anda boleh menghantar profil anda kepada editor majalah, suratkhabar, blog dan sebagainya untuk memohon menjadi penulis. Biasanya editor akan memberi anda peluang untuk membuktikan kebolehan anda menulis dengan meminta anda menyiapkan artikel dengan tajuk-tajuk tertentu. Anda juga boleh membuat blog anda sendiri. Anda sudah menjadi seorang penulis secara tidak langsung jika anda berjaya mencipta sebuah blog yang mempunyai isi kandungan yang menarik. Untuk menjadi pemilik blog anda tidak perlu menjadi terlalu hebat dalam penulisan. Penulisan blog boleh dibuat secara santai jika anda tidak begitu bagus di dalam tatabahasa, kerana tidak ada sesiapa yang akan mengarah anda untuk mengubah cara anda mengendalikan blog anda, tidak seperti proses penerbitan sebuah buku fizikal yang memerlukan proses pengeditan yang panjang.

  8. 7. Sertai kumpulan atau halaman persatuan atau komuniti penulis di media sosial. Ahli-ahli di dalam kumpulan biasanya tidak kedekut ilmu penulisan dan sering berkongsi matlumat mengenai bidang penulisan. Anda boleh saja membuat pertanyaan dalam kumpulan yang disertai, pasti ramai yang sudi berkongsi ilmu dengan menjawab persoalan anda.
    •  Di Amerika Syarikat, jika anda berminat untuk menjadi seorang penulis artikel majalah sepenuh masa, anda boleh mendaftar untuk menjadi ahli di "The Writer". Ianya sebuah web terkenal yang memberi maklumat dan khidmat nasihat tentang penulisan, bagaimana mencari syarikat penerbitan, bagaimana menjalankan perniagaan penulisan dan sebagainya.

  9. 8. Latihan penulisan secukupnya. Tahukah anda penulisan itu tidak berkembang dengan bakat? Penulisan berkembang melalui latihan penulisan itu sendiri. Bagaimana anda dapat mengembangkan kebolehan menulis anda? Anda perlu banyak membaca tentang pelbagai perkara dan menambahkan ilmu pengetahuan anda sendiri barulah anda dapat menghasilkan karya anda sendiri. Anda boleh mula berlatih menulis artikel pendek sebagai latihan permulaan penulisan anda. Contohnya, anda boleh menyenaraikan beberapa tajuk yang biasanya terdapat di dalam majalah seperti kecantikan, hiasan dan reka bentuk dalaman, wanita, remaja, hiburan, pelancongan, sukan dan sebagainya. Pilih sebuah majalah yang menarik hati anda, lihat dan senaraikan bahagian-bahagian yang terdapat pada majalah tersebut. Jika anda paling berminat dengan bahagian sukan, anda boleh menulis artikel tentang apa juga topik yang berkaitan dengan sukan. Kumpulkan artikel anda. Anda boleh menulis satu artikel setiap minggu. Dalam sebulan anda sudah mempunyai empat (4) buah artikel. Daripada artikel pendek, anda boleh menambahkan keupayaan anda menulis dengan menulis artikel yang lebih panjang pula dan begitulah seterusnya anda mungkin boleh berlatih untuk menjadi penulis cerpen atau novel pula.
  10. 9. Mula mencari peluang menulis dan bina portfolio anda.
    • Anda boleh mula berlatih menjadi penulis seawal usia remaja lagi. Jika anda seorang pelajar sekolah, anda boleh menyertai kelab majalah sekolah anda. Anda bolehlah menulis beberapa artikel yang sesuai untuk majalah sekolah, mungkin saja artikel anda berjaya menarik perhatian ketua editor majalah dan sebuah muka surat majalah dikhaskan untuk artikel anda sahaja! Pengalaman anda menjadi penulis artikel majalah sekolah itu nanti bolehlah dimasukkan sekali di dalam portfolio anda.
    • Jika anda seorang pelajar universiti, anda bolehlah menawarkan untuk menulis artikel untuk majalah mahasiswa atau pusat bahasa di universiti tempat anda belajar.
    • Bagi orang dewasa, anda boleh memulakan kerjaya anda dengan menghubungi pemilik blog atau web yang anda minati dan sukai yang mempunyai reputasi baik. Jika pemilik blog atau web memberi tindak balas memberangsangkan kepada anda, anda boleh mula menerangkan hasrat anda untuk menulis artikel bagi web atau blog mereka dengan tujuan membina portfolio dan kredibiliti anda sebagai penulis. Biasanya pemilik blog atau web pasti berbesar hati untuk menerima artikel anda dengan syarat artikel anda itu bermutu dan berinformasi dan mampu menarik pembaca. Walaubagaimana sebagai permulaan anda mungkin perlu menulis artikel tanpa diberi bayaran sebaliknya mereka hanya akan menerbitkan artikel terbabit dengan nama anda di blog atau web mereka. Anda janganlah berkecil hati.Jika web atau blog mereka itu terkenal secara tidak langsung anda sudah berada setapak ke hadapan di dalam proses pemasaran diri anda sebagai penulis . Itu adalah cara dan langkah pertama yang paling mudah untuk memperkenalkan nama anda sebagai penulis. 
    • Anda juga boleh mencuba menulis artikel untuk web NGO. Contohnya, jika anda berminat tentang penjagaan alam sekitar, anda bolehlah menulis tentang topik berkaitan alam sekitar dan hantarkan kepada persatuan pencinta alam sekitar di kawasan anda. Jika mereka mempunyai web sendiri pasti mereka berbesar hati menerima artikel sumbangan anda.
    • Formatkan artikel-artikel anda di dalam bentuk PDF supaya lebih memudahkan anda mengirim email kepada bakal pelanggan anda. Anda kadang-kadang tidak dapat menduga jika tiba-tiba sahaja wujud permintaan bagi artikel-artikel anda.

  11. 10. Kemaskini Portfolio anda setiap kali artikel anda diterbitkan. Jika artikel anda diterima oleh mana mana editor tidak kiralah samada untuk majalah, jurnal, blog atau web dan nama anda dipaparkan sebagai penulis artikel tersebut, anda haruslah mengemaskinikan portfolio anda. Portfolio anda yang paling terkini itulah yang anda akan gunakan sebagai modal untuk kerja 'job hunting' anda yang seterusnya dalam bidang penulisan. Semakin menarik portfolio anda, maka semakin besar peluang anda untuk mendapatkan tugasan yang lebih menarik, mencabar dan mungkin lebih serius daripada yang sebelumnya. Contohnya, mungkin sebelum ini anda lebih banyak menulis tentang bidang hiburan, mungkin anda boleh mencuba menulis artikel yang lebih serius seperti ekonomi, kesihatan dan sebagainya.

  12. Selain portfolio bercetak, anda boleh membina portfolio anda secara online yang kini begitu terkenal di kalangan penulis seluruh dunia. Layari :
  13. Journoportfolio
  14. Clippings.Me
  15. Contently
  16. Pressfolios

  17. 11. Belajar daripada editor dan pengkritik anda. Ambil perhatian pada sebarang komen daripada editor anda. Editor anda adalah guru dan pembimbing anda di dalam bidang penulisan.  Editor anda akan membantu anda mengembangkan kemahiran penulisan anda dan meluaskan pengetahuan anda di dalam penulisan.
  18. Bidang penulisan adalah satu bidang yang sangat penting di dalam kehidupan kita. Manusia menjadi semakin maju dalam segala bidang kerana adanya penulisan. Ramai orang menulis pada era ini dengan tujuan mendapatkan wang dan pendapatan, tetapi ramai juga yang menulis kerana mereka suka menulis sahaja. Bidang penulisan ini sebenarnya adalah salah satu bentuk terapi yang baik untuk minda dan hati manusia. Lihatlah pada pemuzik, mereka meluahkan isi hati mereka menjadi lirik (penulisan) yang akhirnya dijadikan lagu dan irama. 
  19. Demikian juga dengan para blogger di luar sana. Ramai blogger yang menulis sekadar suka-suka dengan berkongsi kisah hidup mereka dan kisah hidup orang ramai, tips, cara-cara menyelesaikan sesuatu masalah dan sebagainya. Anda juga boleh cuba mula membuat blog anda sendiri. Setelah anda cuba bereksperimen dengan blog anda dan menulis post pertama anda, anda pasti tidak akan berhenti menulis blog lagi!

No comments:

Post a Comment